KUALA LUMPUR: Warisan enggan bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 ini kerana soal siapa yang menjadi Perdana Menteri kelak akan menenggelamkan isu-isu kepentingan rakyat.
Presidennya, Datuk Seri Shafie Apdal berkata Warisan nekad bertanding secara solo pada pilihan raya kali ini kerana tidak mahu muncul masalah pada masa akan datang.
“Kalau bergabung seperti sebelum ini, ia jadi bukan gabungan kepentingan rakyat tapi nanti siapa Perdana Menteri. Masalah rakyat cukup besar.
“Daripada saya bergabung dengan parti maka saya bergabung dengan rakyat maka Warisan tawar bertanding tanpa bergabung,” katanya lagi.
Sementara itu Warisan akan mempertaruhkan calon-calonnya di 26 kawasan Parlimen.
Antara kawasan Parlimen yang akan diletakkan calonnya adalah Lumut; Tumpat; Ampang; Pandan; Hulu Langat; Klang; Kepong; Batu; Wangsa Maju; Kuala Pilah dan Sekijang.
Begitu juga di Padang Besar; Kangar; Arau; Pokok Sena, Alor Setar; Kuala Kedah; Merbok; Padang Serai; Tasek Gelugor; Batu Kawan; Jelutong; Bayan Baru; Gopeng dan Tapah.
Shafie dalam masa yang sama turut mengumumkan bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Tee Keat akan bertanding di Parlimen Pandan mewakili Warisan.
Selain itu Warisan turut bertanding di 16 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Johor, Negeri Sembilan dan Selangor.
Meskipun pernah berhadapan dengan kekalahan di enam DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor namun Shafie yakin parti berkenaan mempunyai penyokong berdasarkan sambutan di negeri itu.
“Walaupun kita sedar bertanding di Johor tidak ada kerusi menang tapi ada berapa ribu menyokong Warisan walaupun dalam tempih tiga minggu kita kempen.
“Hari ini ada sesetengah kawasan mereka gemar memilih calon bebas bukan kepartian saya yakin kalau calon Bebas boleh tawar diri, kita juga yang ada kekuatan di Sabah boleh. Kita ada pelbagai latar belakang dan toloh yang mempunyai pengalaman, paling muda 29 tahun,” katanya.