Warisan Dakwa Limus, James Tinggalkan UPKO Kerana Mahu ‘Terus Kaya’

Parti Warisan Sabah membidas alasan dua bekas ADUNnya, Datuk Limus Jury dan Datuk James Ratib yang kononnya keluar dari parti kerana mahu membela nasib rakyat.

Sebaliknya, menurut Ketua Penerangan Warisan, Datuk Dr Yusif Yacob, tindakan ADUN Kuala Penyu dan ADUN Sugut itu berpunca kerana mereka terbabit dalam kontrak bernilai ratusan juta.

Limus, misalnya mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat dikenali Perwira Progresif Sdn Bhd yang mendapat kontrak membina Lebuh Raya Pan Borneo Sabah yang bernilai RM385 juta.

James pula merupakan antara kontraktor yang memperolehi projek daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

“Sudah pasti kedua-dua mereka ini telah menerima tekanan dan perlu terus bersama Kerajaan Persekutuan dan atas sebab itulah mereka sekali lagi berpaling tadah dan dalam keadaan terpaksa menyokong PN.

“Alasan kedua-dua wakil rakyat kononnya mereka beralih sokongan demi rakyat serta hilang kepercayaan kepada Presiden UPKO hanyalah satu retorik untuk meletakkan kesalahan di bahu orang lain dan melepaskan diri daripada kecaman pengikut dan pengundi,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Yusof mendakwa kedua-dua wakil rakyat itu ‘terpaksa’ beralih arah memandangkan kontrak yang diperolehi itu merupakan di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

Ini dapat dilihat bagaimana mereka pernah menukar haluan selepas PRU14, dimana kedua-duanya bertanding dan menang atas tiket Barisan Nasional (BN) namun menyokong Pakatan Harapan (PH) selepas BN tewas.

Yusof berkata Warisan masih kukuh dengan sokongan 45 ADUNnya meskipun ada pihak berusaha untuk memastikan di kalangan mereka beralih arah.

“Semua wakil rakyat Kerajaan Sabah juga telah menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri untuk terus mentadbir negeri dan menuntut hak-hak Sabah daripada Kerajaan Persekutuan.

“Walaupun ramai wakil rakyat diberi pelbagai tawaran lumayan untuk beralih sokongan, dan Kerajaan Sabah dicabar dengan pelbagai tekanan menerusi institusi kerajaan persekutuan, prinsip perjuangan dan maruah Sabah akan dipertahankan, ini bukan masanya untuk Sabah terus ditekan dan dibuli oleh parti dari Semenanjung,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles