JASIN: Seorang lelaki warga Singapura berusia 56 tahun direman lima hari oleh Mahkamah Majistret Jasin, bagi membantu siasatan kes cabul anak gadis tirinya yang ketika itu berusia 13 tahun, dua tahun lalu.
Perintah reman sehingga 6 September itu dikeluarkan oleh Majistret Mazana Sinin. Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Menurut sumber, perbuatan suspek terbongkar selepas berlaku pertengkaran antara mangsa berusia 15 tahun dengan kakaknya di rumah mereka di Kampung Ayer Baruk, semalam.
“Ketika pertengkaran, mangsa mendedahkan kepada ibunya bahawa dia pernah dicabul bapa tirinya kira-kira jam 11.30 malam, 27 Jun 2023. Ketika itu, suspek menawarkan untuk mengurut mangsa yang mengadu sakit belakang sebelum meraba kemaluannya.
“Mangsa menepis tangannya lalu melarikan diri ke bilik. Sejak itu dia merahsiakan kejadian berkenaan,” katanya.
Mangsa juga mengetahui kakaknya berusia 17 tahun turut pernah menjadi mangsa cabul suspek apabila lelaki itu didakwa meraba pahanya awal tahun ini.
Ekoran pendedahan itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Jasin kira-kira jam 1 tengah hari semalam.
“Bertindak hasil laporan, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D11, Jabatan Siasatan Jenayah IPK Melaka menahan suspek sebelum dibawa ke mahkamah bagi permohonan reman hari ini,” katanya.