Warga Rohingya, Termasuk Seorang Remaja Bawah Umur Tak Mengaku Rogol, Cabul Pelajar

KUALA LUMPUR: Dua warga Rohingya termasuk seorang berusia 14 tahun dihadapkan ke Mahkamah Ayer Keroh, hari ini berdepan dengan pertuduhan merogol dan mencabul seorang pelajar sekolah dalam sebuah kereta, minggu lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohamad Osman Boshor, 27, dan seorang lagi remaja berusia 14 tahun itu mengaku tidak bersalah sejurus semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail dan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

Mengikut pertuduhan terhadap Mohamad Osman di Mahkamah Sesyen, peniaga itu didakwa telah merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun 7 bulan kira-kira pukul 5.30 petang di dalam sebuah kereta jenis Proton Preve di kawasan lapang di pantai Klebang, 14 September lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak kurang 10 tahun sehingga 30 tahun dan hendaklah dikenakan sebatan mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah melakukan serangan seksual terhadap mangsa sama pada masa, lokasi dan tarikh serupa.

Bagi perbuatan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan hendaklah dikenakan sebatan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak menawarkan sebarang jaminan, manakala Peguam Omar Zulkarnain yang mewakili tertuduh merayu agar jaminan dibenarkan dan bersetuju dengan syarat tambahan dikenakan.

Selepas mendengar rayuan, Mohd. Sabri membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 selain mengarahkan tertuduh tidak mendekati mangsa dan keluarganya dan menetapkan tarikh 31 Oktober depan untuk serahan laporan kimia dan perubatan penuh mangsa.

Sementara itu, tertuduh remaja 14 tahun pula didakwa melakukan amang seksual fizikal dan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa sama pada masa, lokasi dan tarikh yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebat dan Seksyen 377C kanun sama dengan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan dikenakan sebat.

Majistret Sharda kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan tarikh 31 Oktober ini sebagai sebutan semula kes.

Terdahulu media pada semalam melaporkan polis menahan dua warga Rohingya selepas didakwa merogol seorang pelajar sekolah berusia 15 tahun yang baharu sehari dikenali melalui aplikasi WhatsApp di dalam sebuah kereta pada 14 September lalu.

Pelajar malang itu kemudian dijumpai abangnya di padang permainan di Batu Berendam antara pukul 2 hingga 3 pagi keesokan harinya yang keluar mencari adiknya itu bersama rakan-rakan selepas mendapati dia tidak pulang ke rumah.

BBerkaitan

Latest articles