Warga FELDA Gembira Dengan Komitmen PM

KUALA LUMPUR: Komitmen dan kesungguhan berterusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membangunkan tanah rancangan FELDA dengan mempelbagai aktiviti ekonomi baharu mula membuahkan hasil.

Di bawah teraju dan dokongan Perdana Menteri, peneroka FELDA mula menjana pendapatan yang bukan hanya bergantung kepada tuaian kelapa sawit semata-mata, malah sudah diperluas kepada hasil penanaman sayur-sayuran serta penternakan haiwan seperti kambing, lembu dan ayam.

Pengerusi Pertubuhan Satu Silaturahim Anak FELDA (1SAF), Mohammad Yahya Zakaria berkata, usaha itu menunjukkan kerajaan serius mahu melihat FELDA sebagai satu agensi penting yang dapat membantu negara mengatasi isu sekuriti makanan.

“Perdana Menteri sedang memandu FELDA ke satu arah yang tepat. Beberapa aktiviti yang sedang dilaksanakan FELDA seperti integrasi ladang, pembukaan ladang untuk pertanian dan penternakan, akan membantu negara mengeluarkan lebih banyak produk makanannya sendiri.

“Kalau kita lihat pun FELDA sememangnya mempunyai kelebihan ini. Sebab di FELDA, selain warga peneroka ada 10 ekar tanah setiap seorang atau satu keluarga, tanah yang ada itu boleh juga digunakan untuk aktiviti pertanian dan penternakan.

“Di FELDA juga ada tanah lebihan yang boleh digunakan generasi kedua FELDA untuk diusahakan sebagai kawasan pertanian baru. Jadi langkah mempelbagaikan hasil di FELDA ini sangat baik dan bermanfaat kepada peneroka dan generasi keduanya,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini, ramai juga anak peneroka yang sudah mula kembali ke FELDA dan terbabit dalam program pembangunan tanah rancangan.

“Ini dapat dilihat dari segi perubahan struktur organisasi berkaitan pembabitan generasi baru FELDA. Sekarang ini banyak generasi baru mula menggantikan peneroka dari segi pentadbiran di ladang serta pentadbiran organisasi di tanah peneroka.

“Anak peneroka yang berada di luar tanah rancangan juga ramai yang mula kembali.

Berbeza dengan dulu, biasanya yang terbabit mengurus hal pentadbiran tanah hanya kumpulan peneroka saja,” katanya.

Beliau berkata, program Perumahan Generasi Kedua FELDA (PGKF) yang berdepan pelbagai masalah sebelum ini, mula menampakkan penyelesaiannya apabila sebahagian besar projek yang sebelum ini terbengkalai sudah berjaya disiapkan.

“Apabila FELDA menyediakan satu sistem di mana rumah terbengkalai 70 peratus siap mesti diutamakan untuk dibaiki segera, sekarang sudah hampir 90 peratus siap.

“Selain itu, apabila kita melihat banyak kekangan (untuk dapatkan tanah bina rumah), kerajaan pada awal tahun lalu putuskan jika ada tanah dia buat pembahagian lot. Ini pun satu pendekatan yang kita sambut baik,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles