Warga Emas Rentung Dalam Kereta Terbakar Di Pantai Senggarang

BATU PAHAT: Identiti mangsa yang rentung dalam sebuah kereta di tebing Pantai Sungai Lurus, Senggarang semalam, dikenal pasti sebagai seorang lelaki tempatan berusia 72 tahun.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, pengesahan rasmi masih menunggu keputusan ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA).

“Pihak polis menerima maklumat daripada bomba Rengit berhubung kejadian itu pada jam 5.28 petang. Anggota Balai Polis Senggarang segera digerakkan ke lokasi dan mendapati sebuah kereta bersama seorang mangsa telah rentung terbakar di kawasan tebing pantai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan oleh pasukan khas membabitkan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Batu Pahat, Pasukan Forensik D10 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Johor serta Balai Polis Senggarang.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati rangka manusia ditemui di tempat duduk pemandu dengan keseluruhan kenderaan musnah terbakar.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan,” katanya.

Shahrulanuar turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat kepada Ketua Polis Balai Senggarang, Sub Inspektor Abriza Yaakub di talian 019-7275995, ke mana-mana balai polis berhampiran, atau melalui Hotline Polis Kontinjen Johor (07-2212999) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat (07-4343999).

Terdahulu, sebuah video memaparkan kereta terbakar di tepi pantai bersama seorang individu di dalamnya tular di media sosial, mengundang pelbagai reaksi warganet.

BBerkaitan

Latest articles