KUALA LUMPUR:Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta Proton Wira dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Pekan, berhampiran Pasaraya LYC Indera Sempurna, lewat petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata kejadian berlaku apabila motosikal mangsa yang datang dari lorong kiri secara tiba-tiba memasuki lorong kanan untuk membuat pusingan U.
“Pemandu kereta, seorang lelaki berusia 27 tahun, tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa, Zakaria Omar, 63, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Sementara itu, pemandu serta dua penumpang Proton Wira, termasuk seorang bayi perempuan berusia empat bulan, tidak mengalami kecederaan.
Bagaimanapun, kenderaan tersebut mengalami kerosakan di bahagian hadapan, manakala motosikal mangsa mengalami pelbagai kerosakan.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ).