Warga Emas Maut, Basikal Bergesel Dengan Treler

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga emas maut selepas basikal yang ditungganginya terjatuh akibat bergesel dengan sebuah lori treler di Jalan Kuantan-Kemaman, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kemalangan berlaku sekitar jam 12 tengah hari berhampiran persimpangan Hotel Royal Chulan, Cherating.

Insiden itu melibatkan sebuah lori treler jenis Volvo dan sebuah basikal Argon 18 (Krypton).

“Siasatan mendapati kedua-dua kenderaan datang dari arah Kemaman menuju ke Kuantan. Ketika lori sedang bergerak lurus, penunggang basikal yang berada di bahagian kiri tiba-tiba hilang kawalan dan bergesel dengan sisi kiri lori, menyebabkan kemalangan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa, Abu Hanifah Yusof, 60, yang beralamat di Kampung Cherating Baru, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

BBerkaitan

Latest articles