LUMUT: Seorang lelaki warga emas berusia 78 tahun ditemukan maut dalam keadaan mengerikan selepas dipercayai dicangkul pada bahagian kepala dan muka di kediamannya di Kampung Koh, Sitiawan, pada Sabtu.
Ahli keluarga mangsa yang menemui mayat kira-kira pukul 12 tengah hari terus membuat laporan polis selepas mendapati mangsa berlumuran darah di ruang tamu rumah.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd. Rahman berkata, pihak polis menerima laporan kira-kira pukul 1.30 petang dan pemeriksaan di lokasi menemukan sebatang cangkul yang mempunyai kesan darah, dipercayai digunakan dalam insiden berkenaan.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, dan hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian akibat kecederaan tumpul dan tajam pada bahagian kepala.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis masih meneliti motif pembunuhan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohd. Azalan Ab. Karim di talian 019-392 7837, Bilik Gerakan IPD Manjung di 05-688 6222, atau menerusi hotline WhatsApp 017-682 8005.










