BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki warga emas yang ditahan selepas melarikan sebuah kereta bersama seorang kanak-kanak perempuan orang kelainan upaya (OKU) bisu direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman terhadap suspek berusia 63 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan di Mahkamah Bukit Mertajam hari ini.
Tempoh reman bermula hari ini sehingga 24 Jun.
Suspek disiasat di bawah Seksyen 379A dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan dan melarikan kanak-kanak.
Menurut laporan, kejadian berlaku sekitar jam 5.30 petang semalam di sebuah bengkel di Jalan Penaga, apabila suspek melarikan kereta jenis Toyota Corolla yang enjin masih hidup dengan mangsa, seorang kanak-kanak perempuan OKU berusia 12 tahun, berada di dalamnya.
Ketika itu, ibu mangsa dilaporkan keluar sebentar untuk menghantar minyak hitam kepada suaminya di dalam bengkel, sebelum menyedari kereta bersama anaknya telah hilang.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, pihak polis berjaya mengesan dan menyelamatkan mangsa tidak lama selepas kejadian dilaporkan.
“Mangsa berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami kecederaan. Namun, dia telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Pemeriksaan lanjut mendapati suspek mempunyai 18 rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan dadah dan jenayah lain.
Suspek dibawa ke mahkamah sekitar jam 10 pagi tadi dengan kawalan ketat pihak polis.