Warga Emas Didenda RM1,600 kerana Cederakan Kakitangan Puspakom

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga emas didenda RM1,600 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru selepas mengaku bersalah mencederakan seorang kakitangan Puspakom.

Tertuduh, Koh Soon Hua, 60, dijatuhi hukuman tersebut oleh Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin. Jika gagal membayar denda, tertuduh akan menjalani hukuman penjara selama dua bulan, demikian memetik laporan Harian Metro.

Mengikut pertuduhan, Koh didakwa dengan sengaja mencederakan Mohd Suzaini Mohd Taib di Puspakom, Jalan Bertam 23, pada kira-kira 5.40 petang, 18 November lalu.

Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Latif, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum hukuman dijatuhkan, Koh merayu agar mahkamah memberikan hukuman ringan dengan alasan dia sudah tidak bekerja, bergantung kepada anak lelakinya untuk menyara kehidupan, dan turut mengalami masalah kesihatan.

Insiden tersebut dilaporkan berlaku pada 18 November 2022 di Puspakom Taman Daya, Johor Bahru. Lelaki berusia 60 tahun itu bertindak menampar kakitangan Puspakom selepas berang apabila lorinya gagal dalam pemeriksaan kenderaan.

Kejadian tersebut dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) premis Puspakom dan tular di media sosial, mencetuskan perhatian ramai.

Polis mengesahkan menerima laporan daripada mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang bertugas di Puspakom. Siasatan mendapati tindakan tertuduh berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap keputusan pemeriksaan lori miliknya.

BBerkaitan

Latest articles