KUALA LUMPUR: Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown hari ini telah dikenakan waran tangkap selepas pendakwaan memohon tindakan tersebut setelah wanita itu gagal menghadirkan diri ke mahkamah berhubung kes fitnah terhadap Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.
Hakim Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Majistret Nordiana Abd Aziz turut menetapkan tarikh 23 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Terdahulu, Clare berdepan dengan pertuduhan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah melalui buku The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose.
Saman fitnah berkenaan dituntut Sultanah Nur Zahirah susulan kandungan berunsur fitnah dalam buku tersebut, yang menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta pada 21 November 2018.
Kenyataan itu, menurut baginda berbaur fitnah, selain membawa maksud mendakwa baginda terbabit dalam amalan rasuah dan mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Terengganu.
Begitu juga dakwaan bahawa baginda menggunakan statusnya sebagai kerabat diraja untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Tulisan di buku itu juga menurut Sultanah Nur Zahirah, membawa maksud baginda membantu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low menjadi penasihat TIA.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah, Noor Haslinda Che Seman dan Nadia Zulkefli.