Wanita Warga Asing Ditemui Mati Bersama Bayi Baru Dilahirkan Di Tepi Jalan

KUALA LUMPUR: Seorang wanita ditemui mati terbaring bersama-sama seorang bayi lelaki dengan tali pusat belum dipotong di tepi Jalan Impiana 5, Taman Impiana, Kelapa Sawit, Kulai, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kejadian berkenaan dimaklumkan oleh orang awam kepada anggota di Balai Polis Kelapa Sawit pada pukul 8.15 pagi.

“Orang awam berkenaan memaklumkan terlihat seorang wanita tetapi bangsa tidak pasti terbaring di tepi jalan tersebut.

“Bertindak atas maklumat sepasukan anggota dari Kulai dan pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pergi ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya menemui seorang wanita ditemui terbaring di tepi jalan bersama-sama seorang bayi lelaki dengan tali pusat belum dipotong.

Katanya, pegawai perubatan yang hadir di lokasi kejadian mengesahkan kematian kedua-dua mangsa.

Menurutnya, hasil siasatan yang dijalankan mendapati wanita berkenaan merupakan warganegara asing.

“Tiada sebarang kecederaan luaran ditemui pada kedua-dua mayat. Turut ditemui satu organ dipercayai uri berhampiran tempat mayat ditemui,” ujarnya.

Kedua-dua mayat ujarnya, dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru untuk tujuan bedah siasat.

Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 316 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum sehingga 10 tahun dan juga dikenakan denda.

Beliau meminta mana-mana saksi yang mempunyai maklumat kejadian untuk tampil memberi keterangan di balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor R Arun 013-3332385.

BBerkaitan

Latest articles