Wanita UMNO tidak pernah mengadakan perjumpaan dengan Ahmad Zahid atas tujuan Menyokong Anwar -Noraini

Dakwaan seorang pemimpin UMNO yang mengatakan bahawa terdapat pertemuan antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dengan Wanita UMNO bagi meminta sokongan untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri tidak berasas sama sekali.

Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, beliau bersama dengan barisan exco Wanita UMNO tidak pernah mengadakan perjumpaan dengan Ahmad Zahid atas tujuan seperti yang didakwa oleh pemimpin UMNO tersebut.

“Saya menafikan dakwaan bahawa wujud pertemuan antara Presiden dengan Wanita UMNO bagi meminta sokongan untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

“Pertemuan sedemikian tidak pernah berlaku dan dakwaan tersebut tidak berasas sama sekali. Saya minta pihak berkenaan tidak mengheret Wanita UMNO ke dalam kancah politik yang tidak sihat,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mendakwa wujud gerakan mendapatkan tanda tangan ahli-ahli parlimen UMNO bagi menyokong Presiden PKR sebagai perdana menteri.

Dakwaan tersebut disokong oleh Exco Wanita UMNO, Datuk Shamsiah Mohd Yassin yang mengatakan Zahid juga telah mendekati sayap parti itu untuk memujuk mereka menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

Untuk rekod, Shamsiah merupakan Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau dan merupakan isteri kepada Pengerusi Perbadanan Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA).

Latest articles

Related articles

spot_img