KUALA LUMPUR: Wanita UMNO membangkitkan rasa tidak puas hati dan kecewa dengan senarai calon kerusi parlimen yang diumumkan oleh Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norshida Ibrahim, berkata senarai calon itu menunjukkan kegagalan menterjemahkan janji Pucuk Pimpinan Barisan Nasional untuk laksanakan 30 Peratus calon wanita pada PRU15.
Malah katanya, perkara itu sudah beberapa kali disuarakan sehingga membawa kepada ketetapan oleh MKT UMNO.
“Apakah pucuk pimpinan BN lupa bahawa calon wanita adalah salah satu faktor kemenangan kepada Barisan Nasional?
“Adakah Pucuk pimpinan lupa janji tersebut ditagih oleh kesemua wanita dan pengundi wanita di negara ini?
“Kuota 30% peratus calon wanita ini seperti dipandang enteng oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional dan perkara ini sewajarnya tidak berlaku pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15),” katanya menerusi Facebook, semalam.
Mengulas lanjut, Norshida berkata jika tidak mahu melaksanakan 30 Peratus Calon Wanita, adalah tidak perlu MKT UMNO dan Majlis Tertinggi BN menyatakan komitmen untuk meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus penglibatan calon wanita dalam Pilihanraya Umum ke-15.
“Jelas bahawa Pucuk Pimpinan lemah dan tidak mengiktiraf dan memberikan kepercayaan penuh kepada Wanita BN untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam pimpinan arus perdana negara,” katanya.
Senarai kerusi Parlimen BN menyaksikan hanya lapan calon Wanita UMNO dan tiga calon Puteri UMNO disenaraikan.