Wanita Tular Hina Islam didakwa pagi ini

KUALA LUMPUR – Wanita yang tular di media sosial selepas dikatakan menghina Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, pagi ini, untuk pertuduhan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menghina Islam.

Suspek berusia 28 tahun yang memakai baju berwarna kuning tiba pada 9 pagi diiringi beberapa anggota polis dibawa masuk mahkamah.

Puluhan pengamal media daripada pelbagai agensi berkumpul di pekarangan mahkamah itu seawal jam 7.30 pagi tadi untuk merakam video serta gambar wanita terbabit.

Sebelum ini, tular satu video di media sosial memaparkan wanita itu yang mengaku berasal dari Kuala Kangsar, Perak, menghina Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

Dalam video berdurasi 54 saat itu, wanita terbabit mendakwa dirinya beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum secara tiba-tiba menanggalkan baju kurung serta tudungnya hingga mendedahkan aurat.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) juga memaklumkan pihaknya sedang menyiasat video itu, manakala Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggantung sementara serta-merta lesen kelab komedi itu susulan tular video terbabit.

BBerkaitan

Latest articles