KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang wanita selepas didakwa memukul dan mencederakan anaknya di hadapan sebuah pasar raya di Jejawi, Arau, semalam.
Suspek yang juga pekerja kantin berusia 37 tahun itu ditahan di sekitar Mata Ayer selepas tular satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai dari pasar raya berkenaan.
Menerusi rakaman itu menunjukkan suspek memukul anaknya sehingga jatuh dan mengenai bucu bangku berhampiran.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada orang awam sekitar berhubung perlakuan wanita berkenaan.
“Dalam video tular itu memaparkan suspek memukul bahagian belakang kepala seorang kanak-kanak perempuan sehingga terhantuk di bucu bangku dan berdarah.
“Kejadian disyaki telah berlaku di hadapan kaki lima sebuah pasar raya di Jejawi, Arau dan suspek akan di bawa ke mahkamah untuk direman bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, menurut Berita Harian.
Beliau berkata, anak mangsa berusia empat tahun mengalami luka di kening sebelah kanan dan telah menerima rawatan susulan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.