SABAK BERNAM: Seorang wanita yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) yang dilaporkan hilang sejak jam 5 pagi tadi ditemui meninggal dalam kawasan semak di Kilometer 35-36 Jalan Klang-Teluk Intan, di sini, hari ini.
Mayat Ruzina Mohd Razali, 48, dijumpai dalam keadaan berbaring pada jam 9.15 pagi oleh anggota polis Balai Sabak Bernam yang melakukan rondaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Khalid Mohamad berkata, hasil siasatan menemui dua beg yang mengandungi baju dan sepasang selipar getah di sebelah wanita itu.
“Hasil pemeriksaan tubuh mangsa tidak menemui sebarang kesan luka yang boleh dikaitkan dengan kemalangan jalan raya atau jenayah.
“Pemeriksaan juga menemukan barang-barang berharga termasuk gelang emas dan dompet di dalam beg pakaian dan ia membuktikan tiada sebarang unsur jenayah terhadap kematian mangsa,” katanya, lapor MalaysiaGazette.
Khalid berkata, temubual ringkas dengan suami mangsa berusia 81 tahun mendapati isterinya adalah pesakit OKU mental yang berdaftar.
“Wanita itu mempunyai rawatan berkala dengan Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam di mana pengambilan ubat dipantau sendiri oleh suaminya.
“Mangsa sebelum ini menyatakan hasrat untuk pulang ke kampung di Perak namun tidak mempunyai waris atau saudara-mara di sana,” katanya.
Terdahulu, kehilangan wanita itu disedari oleh suami mangsa pada jam 5 pagi dan anak lelakinya kemudian membuat laporan di Balai Polis Sabak Bernam, tiga jam selepas itu.
Keluarga itu kemudian melakukan pencarian awal mangsa di sekitar Taman Air Manis dan jalan kawasan pekan Sabak Bernam namun tidak berhasil.
“Bagaimanapun mangsa ditemukan selepas setengah jam anak lelakinya membuat laporan kehilangan mangsa di Balai Polis Sabak Bernam,” katanya.
Hasil bedah siasat dijalankan ke atas mayat wanita itu mendapati punca kematiannya adalah disebabkan serangan jantung.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.