SELAYANG: Seorang wanita tempatan berusia lewat 20-an yang tular kerana mengamuk di sebuah klinik kesihatan semalam, diperintahkan Mahkamah Majistret Selayang untuk menjalani penilaian mental di Hospital Bahagia.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir memaklumkan bahawa wanita itu telah didakwa di mahkamah pagi tadi tanpa sebarang tawaran jaminan.
Menurut beliau, insiden berlaku ketika wanita tersebut hadir ke klinik bersama anaknya yang berusia dua tahun untuk mendapatkan rawatan, namun tiba-tiba bertindak agresif terhadap kakitangan dan pesakit lain.
“Suspek mengeluarkan kata-kata kesat, meludah, serta berdiri di atas kerusi sambil memaki hamun kakitangan dan orang awam,” katanya dalam satu kenyataan.
Polis menerima laporan kejadian pada 19 November sekitar jam 12.25 tengah hari daripada seorang kakitangan klinik di Balai Polis Gombak.
Suspek ditahan pada hari sama dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 19 Disember depan, dan memutuskan bahawa tertuduh perlu dirujuk ke Hospital Bahagia untuk penilaian lanjut.
Terdahulu, satu rakaman video tular menunjukkan wanita itu mengamuk sehingga mencetuskan kekecohan dalam Klinik Kesihatan Gombak Setia.
Difahamkan, wanita berkenaan mempunyai masalah mental namun tidak pernah mendapatkan rawatan selepas melahirkan anaknya.










