Wanita Jadi Nadi Perjuangan Dalam Misi GSF

KUALA LUMPUR: Perjuangan Global Sumud Flotilla (GSF) bukan sekadar misi kemanusiaan, tetapi lambang kekuatan, semangat dan ketabahan wanita yang menjadi nadi kebangkitan umat Islam, kata Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Ahmad Fauwaz Fadzil.

Beliau berkata, penyertaan aktivis wanita dalam misi GSF membuktikan bahawa golongan itu bukan hanya penyokong di belakang tabir, sebaliknya penggerak utama yang menyemarakkan kesedaran dan perjuangan membela ummah.

“Ketegasan dan kelembutan mereka menjadi bukti bahawa wanita memainkan peranan penting dalam perjuangan menegakkan kebenaran. Membela Gaza bukan sekadar isu kemanusiaan, tetapi tanggungjawab iman dan ukhuwah Islamiah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Ahmad Fauwaz turut menyeru umat Islam agar terus bersatu, berdoa dan memperkukuh usaha kemanusiaan demi membela hak serta kebebasan rakyat Palestin yang terus dizalimi rejim Zionis.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi, yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama 23 wira dan wirawati misi kemanusiaan GSF.

Lebih 10,000 peserta membanjiri himpunan tersebut sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Antara aktivis wanita yang menyertai misi GSF ke Gaza sebelum ditahan tentera Israel dan kemudiannya dibebaskan ialah Heliza Helmi dan adiknya Nur Hazwani Afiqah, Nurfarahin Romli (Farah Lee), Zizi Kirana, serta Nurul Hidayah Mohd Amin (Ardell Aryana).

Sementara itu, Ahmad Fauwaz turut mengajak seluruh rakyat Malaysia terus mendoakan keselamatan dan pembebasan semua aktivis serta sukarelawan yang masih ditahan rejim Israel, termasuk peserta Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG).

“Semoga Allah mengurniakan kemenangan kepada perjuangan suci ini dan menjadikan kita umat yang istiqamah dalam menegakkan kebenaran. Palestin akan terus hidup di hati rakyat Malaysia!” katanya.

BBerkaitan

Latest articles