Wanita India Dijanji Kerja Pembantu Rumah, Akhirnya Dipaksa Jadi Pelacur

KUALA LUMPUR: Harapan seorang wanita warga India untuk mencari rezeki halal di Malaysia berkecai apabila dia menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang memaksa dirinya melacur.

Wanita berusia 39 tahun itu dijanjikan pekerjaan sebagai pembantu rumah namun sebaik tiba di Malaysia pada 11 Julai lalu, dia dikurung, dipukul dan dipaksa menawarkan khidmat seks di sebuah hotel di Jalan Ampang.

Nasib mangsa berubah apabila dia berjaya diselamatkan oleh sepasukan polis dalam serbuan Op Noda yang dijalankan Bahagian D3 ATIPSOM, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bersama IPK Kuala Lumpur, semalam.

“Mangsa dipukul dan dikurung oleh seorang lelaki warga India berusia 41 tahun sebelum dipaksa melibatkan diri dalam aktiviti pelacuran,” kata Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek menjadikan mangsa sebagai pelacur dengan caj serendah RM50 hingga RM60 sekali perkhidmatan, dan mengaku menguruskan ‘perniagaan’ tersebut sendiri.

Dalam serbuan jam 8.30 malam itu, polis turut menahan 12 individu lain yang terdiri daripada tujuh lelaki dan lima wanita warga India, berusia antara 21 hingga 43 tahun.

Mereka dipercayai terlibat sebagai pelacur, penjaga kaunter, ‘ulat’ dan pelanggan.

“Modus operandi sindiket ini ialah menawarkan khidmat seks secara terbuka di kaki lima hotel kepada warga asing terutamanya dari Bangladesh, Nepal dan India,” jelas Mohamed Usuf.

Jika pelanggan bersetuju, mereka akan dibawa masuk ke hotel untuk memilih wanita oleh penjaga premis.

Antara barang yang dirampas termasuk kondom, buku catatan pelanggan, tisu dan wang tunai RM267.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 373 dan 372B Kanun Keseksaan berkaitan kegiatan pelacuran, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 berkaitan kesalahan masuk negara tanpa dokumen sah dan Seksyen 12 Akta ATIPSOM 2007 berkaitan pemerdagangan manusia.

Polis menggesa orang ramai agar sentiasa peka terhadap penipuan pekerjaan luar negara dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.

BBerkaitan

Latest articles