Wanita Hilang Ketika Dalam Perjalanan Ke SPRM, Keluarga Dakwa Diculik

KUALA LUMPUR: Seorang wanita berusia 42 tahun dilaporkan hilang secara misteri ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada 9 April lalu, dengan keluarganya mendakwa dia telah diculik.

Mangsa, Pamela Ling, seorang ibu kepada tiga anak, dikatakan dalam perjalanan untuk memberi kenyataan berkaitan suatu siasatan kepada pegawai SPRM sebelum dipercayai ‘dipintas’ oleh beberapa kenderaan tidak dikenali.

Menurut adik mangsa, Simon Ling, keluarga dimaklumkan bahawa kenderaan e-panggilan yang dinaiki oleh Pamela ketika itu telah dihentikan oleh tiga buah kenderaan lain, dan dia diarahkan untuk menaiki salah satu daripada kenderaan tersebut.

“Tiada lagi berita daripada Pamela selepas tengah hari itu. Panggilan dan mesej kami kepada telefon bimbitnya selepas jam 2 petang tidak dijawab. Kini sudah lebih 20 hari dia hilang tanpa sebarang petunjuk,” kata Simon dalam satu kenyataan.

Kehilangan Pamela yang dikaitkan dengan urusan rasmi bersama SPRM menimbulkan kebimbangan serius terhadap keselamatannya, malah keluarga mendesak pihak berkuasa menyiasat kes ini sebagai satu penculikan.

“Kami benar-benar bimbangkan keselamatannya. Cara dia hilang sangat luar biasa dan ini bukan kes orang dewasa yang sengaja menghilangkan diri,” tambah Simon.

Difahamkan, laporan polis telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan oleh polis Putrajaya. Bagaimanapun, keluarga masih menunggu maklum balas rasmi dan perkembangan siasatan.

Simon turut menyeru orang ramai yang mungkin mempunyai maklumat berkaitan insiden atau lokasi Pamela agar tampil membantu pihak berkuasa.

Pamela dilaporkan menetap di sebuah pangsapuri di Sunway Velocity, Cheras sebelum kehilangannya.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh SPRM berkaitan kes tersebut.

BBerkaitan

Latest articles