BATU PAHAT: Detik cemas dilalui seorang wanita hamil lapan bulan apabila dipatuk ular sawa ketika menggunakan tandas rumahnya di sebuah taman perumahan, pada tengah malam Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam, mangsa berusia 29 tahun yang sedang sarat mengandung anak kedua mengalami luka akibat gigitan reptilia sepanjang hampir dua meter itu.
Menurut suaminya, mangsa segera dibawa ke Hospital Batu Pahat dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil serta sedang dipantau rapi oleh pasukan perubatan.
“Saya benar-benar panik, ular itu besar, saiznya lebih kurang sebesar lengan lelaki dewasa. Selepas mematuk, ia terus masuk semula ke dalam lubang tandas. Sampai sekarang saya masih risau sebab ia belum dapat ditangkap,” katanya.
Tambahnya, pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menasihatkan agar lubang tandas disiram dengan air panas atau clorox sebagai langkah pencegahan.
Namun, beliau masih bimbang keselamatan keluarganya kerana ular terbabit belum ditemui.
Insiden berkenaan tular di media sosial selepas si suami meminta pandangan orang ramai yang mungkin pernah berdepan situasi sama.