Wanita Ditahan Kes Buang Bayi Di Kedai Makan

KANGAR: Seorang wanita berusia 29 tahun direman sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan berhubung penemuan seorang bayi perempuan di sebuah kedai makan di Sanglang pada 19 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, berkata suspek ditahan pada jam 2.55 pagi semalam di sebuah rumah di Simpang Empat berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar.

“Hasil siasatan awal mendapati wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu tinggal bersama empat anaknya yang masih kecil, manakala suaminya sedang menjalani tahanan di sebuah Pusat Tahanan Serenti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pihak polis turut merampas beberapa barangan bagi membantu siasatan, termasuk sebuah telefon bimbit, sekeping kad SIM, gunting, cadar serta sampel uri yang didakwa telah dibakar oleh suspek.

Yusharifuddin berkata, siasatan lanjut mendapati suspek mengaku melahirkan bayi perempuan itu seorang diri tanpa bantuan sesiapa di dalam tandas sebuah rumah di Jalan Tok Pulau, Kampung Permatang Kersek, Simpang Empat, pada 18 Januari sekitar jam 6.30 petang.

“Kira-kira 10 jam kemudian, suspek membawa bayi itu ke sebuah kedai makan di Kampung Rama, Sanglang, dengan menaiki sebuah kereta Perodua Myvi berwarna kuning milik rakannya, sebelum meninggalkannya di premis berkenaan,” katanya.

Beliau menambah bahawa bayi tersebut berada dalam keadaan sihat dan kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, di bawah pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

BBerkaitan

Latest articles