ALOR GAJAH: Seorang wanita berusia 35 tahun berdepan detik mencemaskan apabila dilarikan dan dicederakan bekas teman lelakinya bersenjatakan pisau lapah dan pedang samurai, sebelum berjaya melarikan diri dalam satu kejadian di Kampung Melaka Pindah, semalam.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang berhampiran Masjid Ubaidah apabila suspek berusia 38 tahun bersama seorang rakan menaiki Proton Saga mendekati mangsa yang berada di tepi jalan.
“Suspek yang sudah beristeri dan mempunyai anak mengacukan pisau sepanjang 25 sentimeter ke arah dada mangsa sambil memaksanya masuk ke dalam kereta,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Sepanjang perjalanan, suspek didakwa memukul mangsa bertubi-tubi di bahagian kepala dan dada sebelum berhenti di satu kawasan rehat yang tidak dapat dikenal pasti.
Di situ, mangsa dipaksa berpindah ke dalam Proton Wira merah milik suspek, manakala rakannya beredar meninggalkan lokasi.
Suspek kemudiannya memandu sambil menggenggam pedang samurai dan menghalakan mata pedang itu ke arah dada mangsa.
Dalam ketakutan, mangsa memberi alasan haus, menyebabkan suspek berhenti di sebuah kedai runcit di Taman Sutera Indah, Kelemak untuk membeli air.
Ketika ditinggalkan bersendirian di dalam kereta yang berkunci, mangsa sempat menghantar mesej WhatsApp kepada bekas suaminya dan berkongsi lokasi langsung (live location) bagi meminta bantuan.
“Tidak lama selepas itu, suspek membawa mangsa ke pekarangan sebuah rumah di Alor Gajah. Dua lelaki dipercayai adik mangsa tiba dan berlaku pergelutan dengan suspek,” ujar Dzulkhairi.
Dalam keadaan panik, mangsa bertindak pantas membaling pasu bunga ke arah suspek hingga terkena muka, menyebabkan lelaki itu rebah sebelum polis dan ambulans tiba.
Mangsa mengalami luka tikaman di otot kanan dan menerima empat jahitan sebelum dirawat di Hospital Melaka.
Menurut Dzulkhairi, suspek yang merupakan pesara ditahan pada jam 7 malam dan hasil semakan mendapati dia memiliki dua rekod jenayah serta lapan rekod narkotik.
“Motif kejadian berpunca daripada kekecewaan suspek selepas mangsa menolak pujukan untuk kembali bersama kerana mengetahui dia sudah beristeri dan mempunyai anak,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 363 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menculik dan menyebabkan kecederaan parah.