IPOH: Mahkamah Majistret Ipoh hari ini menolak pengakuan bersalah seorang wanita yang didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, semasa sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri pada Ogos lalu.
Keputusan itu dibuat Majistret Harith Mazlan selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa hasil laporan perubatan daripada Hospital Bahagia Ulu Kinta (Tanjung Rambutan) mendapati tertuduh, Nurshazwani Afni Mohamad Zorki, 41, menghidap skizofrenia dan tidak waras ketika kejadian.
Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani berkata laporan berkenaan turut menyatakan bahawa tertuduh kini berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di hospital tersebut.
“Pada masa ini, tertuduh telah diberi rawatan dan stabil. Tertuduh boleh dibicarakan dan memberikan pembelaan,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin, selain diarahkan melapor diri di Balai Polis Pusat Ipoh sekali sebulan setiap Isnin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 8 Disember depan bagi pelantikan peguam bela dan proses seterusnya.
Pada 31 Ogos lalu, ketika sambutan Hari Kebangsaan peringkat Perak di hadapan Dewan Bandaran Ipoh, Nurshazwani didakwa menceroboh pentas utama dan cuba mendekati Sultan Nazrin ketika lagu kebesaran negeri sedang dimainkan.
Susulan kejadian itu, beliau ditahan dan kemudian didakwa di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga bulan, denda maksimum RM1,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Diperintah Jalani Pemeriksaan Mental
Tertuduh sebelum ini dihadapkan ke mahkamah pada 8 September, namun tiada pengakuan direkodkan selepas mahkamah memerintahkan beliau menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia selama sebulan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah, bagi menilai tahap kewarasannya ketika kejadian.