KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menegaskan golongan wanita di negara ini perlu mendapat akses yang saksama dan bebas daripada sebarang bentuk diskriminasi gender.
Tambah Nancy, golongan wanita pada hari ini bukan hanya memainkan peranan dalam institusi keluarga, bahkan lebih dari itu mereka juga menjadi pemimpin dalam pembangunan masyarakat dan negara.
“Wanita adalah tulang belakang kemajuan dalam ekonomi, sosial, dan politik.” katanya ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Logo dan Tema Hari Wanita Antarabangsa 2025, hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Timbalannya, Datuk Seri Noraini Ahmad.
Beliau juga mengiktiraf usaha global wanita yang berjuang untuk mewujudkan struktur yang lebih adil, saksama dan progresif.
Walaupun kemajuan telah dicapai, Nancy menyorot cabaran berterusan dalam mencapai kesetaraan jantina yang memerlukan perhatian.
Hari Wanita Antarabangsa disambut secara global pada 8 Mac setiap tahun dan tema tahun ini ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu ‘Untuk Semua Wanita dan Gadis: Hak. Kesaksamaan. Pemberdayaan’.
Menurut Nancy, kementerian telah memilih tema ‘Wanita Beraspirasi Membina Legasi’ untuk sambutan Hari Wanita tahun ini.
Di Malaysia, Nancy berkata, sambutan akan diadakan secara berperingkat di lima kawasan pada bulan Februari: Sarawak (11 Feb), Terengganu (20 Feb), Johor (24 Feb), Negeri Sembilan (25 Feb) dan tarikh sambutan di Perak akan diumumkan kemudian.