Wanita Dakwa Terima 70 Mesej Lucah Daripada Ebit Lew

KUALA LUMPUR: Seorang saksi pada semalam memberitahu Mahkamah Majistret Tenom bahawa pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew, atau Ebit Lew, menghantar kira-kira 70 mesej berunsur lucah menerusi aplikasi WhatsApp kepadanya, antara 10.57 malam hingga 12 tengah malam pada 19 April 2021.

Wanita berusia 40-an itu, selaku saksi kesembilan pendakwaan yang juga pengadu kes berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria, pada perbicaraan kes gangguan seksual pendakwah tersebut.

Saksi itu berkata, walaupun ketika itu bulan Ramadan, Lew tetap menghantar mesej seperti itu kepadanya dan merasakan ayat-ayat lucah dan memuji dalam mesej itu, mengaibkan kehormatannya.

Pengadu itu berkata,dia melihat karektor Ebit Lew di media sosial sangat berbeza daripada mesej-mesej yang dihantar oleh pendakwah itu, yang dilihat sering menyebut isterinya sebagai seorang bidadari.

“Tapi apabila dia (Ebit Lew) mesej macam tu, seolah-olah dia anggap perempuan ni hanya tujuan seks semata-mata,” katanya ketika dalam pemeriksaan utama itu.

Wanita itu berkata, selain menghantar mesej diawal pagi hingga ke malam, Ebit Lew juga akan membuat panggilan telefon kepadanya dan menggunakan bahasa lucah.

Pada prosiding hari ini, Zahida juga memohon supaya pertuduhan pertama terhadap Ebit Lew dipinda secara lisan pada bahagian waktu, iaitu dari pukul 6 pagi kepada 8.07 pagi.

Mahkamah membenarkan pindaan itu dibuat selepas saksi memberi keterangan, iaitu kronologi kejadian dia menerima gambar kemaluan tertuduh pada 29 Mac 2021 pada pukul 8.07 minit pagi.

Ebit Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp, antara Mac dan Jun 2021.

Pendakwah itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, pada prosiding di sebelah petang, wanita itu memaklumkan Ebit Lew pernah mengajaknya datang ke Kuala Lumpur serta mahu memberikannya tiket kapal terbang, namun beliau menolak pelawaan itu.

Wanita itu berkata demikian menjawab pertanyaan Zahida apakah maksud mesej perbualan dalam aplikasi WhatsApp pada 18 Mei 2021 antara Ebit Lew dengan pengadu pada pukul 3.16 pagi dan 3.49 pagi, iaitu “nanti datang Kuala Lumpur” dan “datanglah Kuala Lumpur”.

Saksi itu juga memberitahu pada tarikh sama, dia menerima antara 200 hingga 250 mesej berunsur lucah yang dihantar Ebit Lew kepadanya, antara pukul 2.31 pagi hingga 4 pagi, selain wanita itu telah mengambil tangkap layar mesej berkenaan.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani, bersambung pada Khamis (23 Mei). – BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles