IPOH: Wanita yang mencetuskan kekecohan apabila menceroboh pentas utama sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Perak minggu lalu, akan ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjung Rambutan, selepas tempoh remannya berakhir hari ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata suspek berusia 41 tahun itu sebelum ini direman selama tiga hari, namun setakat ini masih belum berdepan sebarang pertuduhan di mahkamah.
“Reman tamat hari ini dan suspek akan dirujuk ke HBUK untuk tindakan lanjut. Kami masih menunggu arahan serta perincian daripada Jabatan Peguam Negara berhubung kemungkinan pertuduhan,” katanya dipetik Utusan Malaysia.
Suspek sebelum ini ditahan selepas nekad naik ke pentas utama ketika lagu kebesaran negeri berkumandang dalam acara rasmi berkenaan, dipercayai dengan tujuan mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Bagaimanapun, tindakannya berjaya dihalang oleh pasukan keselamatan yang bertugas.
Kes disiasat di bawah Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan kecederaan parah.
Polis turut mengesahkan wanita berkenaan mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah, namun ujian saringan air kencing mendapati dia bebas daripada pengaruh dadah ketika ditahan.
Selain itu, siasatan juga mendapati suspek mempunyai sejarah rawatan psikiatri dan kini masih berada di bawah pemantauan pakar.