Wanita Cedera Dipukul Suami, Gara-Gara Lawat Bapa Tanpa Izin

JOHOR BAHRU: Hanya kerana menziarahi bapa yang jatuh motosikal tanpa memaklumkan terlebih dahulu, seorang wanita cedera di dahi selepas dipercayai dipukul suaminya menggunakan telefon bimbit dalam kejadian di Ulu Tiram, Khamis lalu.

Mangsa berusia 32 tahun itu mendakwa dipukul pada jam 7 malam, sejurus pulang dari melawat bapanya yang tercedera.

Menurut wanita berkenaan, suaminya tiba-tiba naik angin dan bertindak agresif selepas mengetahui beliau keluar tanpa keizinan.

“Kami bertengkar mulut terlebih dahulu sebelum dia menghentak kepala saya dengan telefon. Dahi saya luka dan berdarah,” katanya ketika dihubungi.

Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di klinik berdekatan dan membuat laporan polis di Balai Polis Ulu Tiram keesokan harinya.

Wanita itu turut mendedahkan, kejadian tersebut bukan insiden pertama kerana dia pernah ditumbuk sehingga lebam sebelum ini.

Kejadian terbaru hanya menyambung rentetan keganasan rumah tangga yang dialaminya.

Beliau juga memuat naik gambar kecederaan ke media sosial, mencetuskan kecaman netizen dan seruan agar tindakan segera diambil.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak, mengesahkan pihaknya menerima laporan dan sedang menjalankan siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 322/18A Akta Keganasan Rumah Tangga. Keterangan pengadu, suami dan saksi telah diambil dan kes dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles