SUBANG JAYA: Seorang wanita warga asing berusia 20 tahun cedera selepas lehernya dikelar menggunakan pisau dalam insiden mengejutkan di sebuah universiti petang semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu sekitar jam 6.30 petang.
“Siasatan awal mendapati mangsa yang cedera di bahagian leher kiri segera dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut. Mangsa kini ditempatkan di zon merah tetapi dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Menurut beliau, suspek berusia 21 tahun yang dipercayai bekas teman lelaki mangsa telah berjaya ditahan tidak lama selepas kejadian.
“Motif kejadian masih dalam siasatan. Suspek akan direman esok untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera dengan menggunakan senjata berbahaya,” ujarnya.
Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda, atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
Dalam pada itu, Wan Azlan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp Fadizah Ajamin di talian 019-8582166 atau mana-mana balai polis berdekatan.