Wanita Beri Alasan ‘Makan Sate Dalam Kereta’ Elak Ditangkap Basah

Gagal mengemukakan sebarang dokumen sah sebagai suami isteri, seorang wanita ditangkap khalwat bersama pasangannya yang juga suami orang di Taman Keladi, Kulim, malam tadi.

Terlebih dahulu beberapa anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) melakukan rondaan di kawasan tersebut lebih dua jam sebelum pasangan berkenaan dicekup pada jam 10.40 malam.

Pegawai Agama Daerah Kulim, Syeikh Muhammad Suhaimi Saleh berkata, terdahulu anggotanya melakukan rondaan dan ternampak kereta diparkir di kawasan gelap di situ.

Katanya, rondaan dilakukan berikutan maklumat awam yang diterima memaklumkan pasangan itu sering dilihat berdua-duaan di dalam kereta.

Ketika ditangkap, wanita itu memberi alasan hanya makan sate di dalam Toyota Vios yang dipandu lelaki itu.

“Pasangan itu terkejut melihat kehadiran penguat kuasa PADK dan pemeriksaan juga mendapati cermin tingkap seluruh kenderaan itu dipasang pelindung cahaya.

“Pasangan itu gagal mengemukakan sebarang dokumen membuktikan mereka suami isteri atau mahram menyebabkan mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat,” katanya.

Hasil siasatan mendapati lelaki berusia 52 tahun dan masih berstatus suami orang itu mempunyai tiga anak dan bekerja di sebuah syarikat utiliti di daerah ini.

Manakala wanita itu berusia 26 tahun dan baru bekerja di syarikat sama pada Februari lalu dan masih belum berkahwin.

“Pasangan itu dibawa ke Balai Polis Kulim untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat agama untuk tindakan lanjut.

“Lelaki itu dipercayai menetap di daerah ini manakala wanita itu pula berasal dari Sungai Petani dan menetap di rumah sewa di sini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, berdua-duaan di tempat gelap yang boleh menimbulkan syak kepada orang ramai adalah kesalahan berkhalwat.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,790FollowersFollow
20,800SubscribersSubscribe

Terkini