Polis menahan empat individu yang dipercayai ada kaitan dengan kejadian terbaharu pencemaran Sungai Selangor.
Tangkapan dibuat di sekitar Gombak, Damansara dan Kelana Jaya, bermula tengah malam tadi hingga awal pagi ini bagi membantu siasatan kes pencemaran bau berdekatan Taman Velox, di Rawang, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, berkata pihaknya akan membuat permohonan reman terhadap semua suspek berusia antara 33 hingga 43 tahun itu, di Mahkamah Selayang pagi ini.
“Siasatan awal mendapati seorang suspek wanita adalah penama yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang menyewa premis di No 32, Jalan Velox 2, Rawang.
“Manakala, seorang lelaki tempatan dan pekerjanya seorang lelaki Bangladesh itu menumpang stok bahan kimia di premis sewaan berkenaan.
“Dipercayai terdapat aktiviti membuang sisa kimia ke dalam satu lubang kumbahan di premis yang disyaki terus mengalir ke kawasan tercemar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Gangguan bekala air tidak berjaual membabitkan 1,139,008 akaun pengguna di Lembah Klang dilaporkan sejak petang semalam akibat pencemaran bau air mentah di Sungai Selangor dipercayai berpunca dari kawasan Industri Kecil dan Sederhana di Taman Velox Rawang.
Pencemaran itu menyebabkan air loji rawatan kumbahan IWK GBK 225 di Taman Velox bertukar kepada warna merah dan mengeluarkan bau seakan-akan bawang busuk.