JURU: Mayat seorang wanita dan anak perempuannya yang dibunuh dalam kejadian tragis di Kampung Sekolah, Juru, malam tadi dibawa keluar dari rumah mereka sekitar jam 1.50 pagi untuk dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) bagi tujuan bedah siasat.
Langkah itu diambil selepas pasukan polis, forensik dan pakar patologi selesai menjalankan pemeriksaan serta mengumpul bahan bukti di lokasi kejadian.
Difahamkan, pasukan siasatan turut menemui sebilah pisau dalam semak berhampiran rumah, dipercayai berkaitan dengan insiden pembunuhan tersebut.
Tinjauan medi di lokasi mendapati kawasan rumah mangsa dikawal ketat anggota polis bagi mengelakkan orang awam merakam atau menghampiri tempat kejadian.
Beberapa ahli keluarga mangsa dipercayai dari Sik, Kedah turut kelihatan hadir.
Dalam perkembangan lain, satu rakaman suara berdurasi 18 saat dipercayai milik suami mangsa tular di media sosial.
Menerusi audio yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp itu, lelaki berkenaan didakwa memaklumkan kepada rakannya mengenai pembunuhan isteri dan anaknya.
“Assalamualaikum Daus, esok abang tak kerja tau, isteri aku dengan anak aku kena bunuh dekat rumah. Aku balik-balik tengok pintu terbuka, aku tengok bini aku melimpah darah, anak pun kena bunuh,” demikian petikan suara dalam rakaman tersebut.
Setakat ini, polis belum mendedahkan punca kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Terdahulu, Ketua Polis Negeri, Datuk Azizee Ismail mengesahkan mangsa terdiri daripada seorang wanita berusia 51 tahun dan anak perempuannya berumur 11 tahun.