BUTTERWORTH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang mengesahkan kebakaran yang meragut nyawa seorang wanita dan anak angkatnya di Taman Rathna pada 10 Disember lalu berpunca daripada perbuatan khianat.
Pengarahnya, Mohamad Shoki Hamzah berkata, siasatan telah dimuktamadkan dan laporan penuh sudah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada awal Januari untuk tindakan lanjut.
“Siasatan mendapati kebakaran itu memang sengaja dibakar. Justeru, kita serahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya,” katanya selepas merasmikan Kempen Keselamatan Kebakaran Op Siaga Raya 2026 di Queensbay Mall, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.41 pagi itu, mangsa, Hayani Yaakob yang berusia lingkungan 50-an dan anak angkatnya, Andra, 6, ditemui rentung di ruang tamu berhampiran pintu utama rumah berkembar berkenaan.
Seorang lagi mangsa yang juga anak kandung wanita terbabit cedera, manakala kediaman itu musnah kira-kira 85 peratus.
Susulan insiden tersebut, polis menahan seorang lelaki berusia 20-an yang juga anak mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, Mohamad Shoki memaklumkan seramai 670 pegawai dan anggota JBPM Pulau Pinang akan bertugas sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina, dengan 20 peratus cuti dibekukan bermula seminggu sebelum hingga seminggu selepas perayaan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati, terutama dalam cuaca panas dan kering, serta memastikan semua peralatan elektrik ditutup sebelum meninggalkan rumah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.










