KUALA LUMPUR: Timbalan Pendakwa Raya kanan, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin menegaskan perpindahan beliau daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Jabatan Peguam Negara (AGC) bukan satu penurunan pangkat, sebaliknya pertukaran biasa dalam perkhidmatan.
Beliau yang sebelum ini memegang jawatan Pengarah Perundangan dan Pendakwaan SPRM memaklumkan akan kembali bertugas di AGC mulai Isnin ini sebagai Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan II, selepas menerima surat pertukaran bertarikh 24 Februari yang ditandatangani Peguam Negara, Tan Sri Dusuki Mokhtar.
“Saya pergi dengan pangkat yang sama. Tiada apa-apa isu. Jangan buat spekulasi,” katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Wan Shaharuddin menegaskan, pertukaran itu tidak menjejaskan kes-kes berprofil tinggi yang sedang dikendalikannya, termasuk perbicaraan rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang melibatkan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
Beliau turut diarahkan mengendalikan kes melibatkan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, selain beberapa rayuan kepentingan awam di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
“Saya sudah tujuh tahun di SPRM. Saya jalankan amanah untuk kerajaan. Mungkin ada perkara lebih baik selepas ini,” ujarnya.
Mengulas tanggapan negatif terhadap SPRM dan hubungannya dengan Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki, beliau menyifatkan ia sekadar persepsi tanpa bukti kukuh.
“Jika ada bukti SPRM buat benda bukan-bukan, kemukakan. Kita mahu bukti kukuh, bukan laporan semata-mata. Beri ruang untuk beliau jelaskan,” katanya sambil menambah hubungan beliau dengan Azam kekal profesional seperti biasa.
Mengakui berat meninggalkan SPRM, Wan Shaharuddin berkata beliau tidak boleh selamanya berada dalam zon selesa dan masih mempunyai lima tahun lagi untuk berkhidmat.
Katanya, pertukaran pegawai adalah perkara biasa dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan bagi memastikan kesinambungan kepimpinan serta pengukuhan organisasi.
Beliau turut menitipkan pesan kepada pegawai di bawah seliaannya supaya terus bekerja dengan jujur dan ikhlas serta mengutamakan keluarga dalam apa jua keadaan.










