KUALA LUMPUR: Datuk Wan Saiful Wan Jan menegaskan akan terus istiqamah dalam perjuangan parti meskipun berdepan pemecatan dan penggantungan keahlian.
Dalam sidang akhbar bersama Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal di bangunan Parlimen hari ini, mendakwa mereka akan bangkit menentang pihak tertentu dalam parti yang didakwa menjadi ‘tali barut’ dan merancang sesuatu terhadap mereka.
Wan Saiful, yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, menegaskan beliau tidak akan meninggalkan Bersatu kerana parti itu turut dibinanya sejak awal penubuhan.
Beliau turut mengingatkan bahawa Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) bukan milik individu tertentu, sebaliknya hasil pengorbanan ahli di semua peringkat, termasuk akar umbi.
“Parti ini tidak boleh digunakan untuk ditunggang oleh sesiapa untuk menyelamatkan diri atau keluarga mereka.
“Kami mahu menyelamatkan Bersatu dan mengembalikan parti ini kepada matlamat asal, iaitu membela rakyat, bukan dijadikan alat untuk isu peribadi,” katanya.
Terdahulu, Lembaga Disiplin Bersatu mengumumkan pemecatan Wan Saiful serta empat Ketua Bahagian, manakala Wan Ahmad Fayhsal digantung keahlian selama satu penggal.
Mereka didakwa melanggar Perlembagaan dan Tatakelakuan Parti, termasuk dikaitkan dengan pengumpulan Surat Akuan Bersumpah (SD) untuk menekan kepimpinan Presiden parti.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata mereka akan meneliti keputusan Lembaga Disiplin sebelum menentukan sama ada akan membuat rayuan atau mengambil langkah lain.
“Kami akan kaji secara teliti dahulu sebelum buat keputusan seterusnya,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal menyifatkan tindakan yang dikenakan terhadap mereka sebagai sesuatu yang amat mengecewakan dan membelakangkan proses keadilan.
Beliau turut menyifatkan tindakan itu satu kerugian buat Bersatu dan PN sendiri, ketika gabungan parti politik itu sedang mempersiapkan diri menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan beberapa negeri lain serta PRU-16.
“Kami tidak akan mengalah sama sekali dan akan bangkit menentang mereka yang cuba menjadi tali barut yang sedang mengatur sesuatu terhadap kami.
“Kami juga tidak bersendirian, malah sebaik sahaja tindakan terhadap kami ini dilaporkan, ramai Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan menyatakan simpati dan sokongan terhadap kami,” katanya.