KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan akan bertemu Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu depan bagi menjelaskan isu dakwaan akuan bersumpah (SD) yang tular.
Menurut Wan Saiful, beliau memegang dokumen sebenar dan yakin Muhyiddin sendiri belum menelitinya.
“SD yang saya pegang bukan untuk menjatuhkan Presiden, sebaliknya bagi memastikan tiada usul yang boleh memudaratkan parti dibawa ke Perhimpunan Agung Tahunan (PAT),” katanya pada sidang media hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Saiful menegaskan SD yang tular kononnya ditandatangani 120 ketua bahagian bagi menggulingkan Muhyiddin adalah berbeza daripada versi sebenar.
“Ada pihak yang sebarkan versi palsu, termasuk daripada Jempol. Itu sebab wujud dua versi berbeza.
“Dokumen sebenar hanya bertujuan menjaga kepentingan parti, bukan menjatuhkan Presiden,” jelasnya.
Hadir sama pada sidang media ialah Ketua Bahagian Bersatu Sepang, Datuk Suhaimi Ghazali dan Ketua Bahagian Puchong, Shukor Mustafa.
Wan Saiful turut mendakwa, naratif bahawa beliau dan beberapa pemimpin lain mahu menyingkirkan Muhyiddin adalah propaganda tersusun yang disebarkan melalui “jentera black ops” dan diburukkan oleh Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
“Fitnah ini membuatkan parti berpecah dari dalam. Hakikatnya, jika usul berkenaan dibawa ke PAT, Bersatu mungkin hilang kerusi Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan peluang melantik calon Perdana Menteri,” katanya.