Wan Rosdy Tegas Tolak Label Sekular, Exco DAP Permudah Pentadbiran Kerajaan Pahang

KUANTAN: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan dakwaan pembangkang yang melabel kerajaan gabungan Barisan Nasional (BN)–Pakatan Harapan (PH) di negeri itu sebagai sekular serta mengabaikan kepentingan orang Melayu dan umat Islam adalah tidak berasas.

Menurut beliau, penyertaan wakil DAP dalam barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) sebenarnya memudahkan urusan pentadbiran, malah dalam beberapa keadaan lebih lancar berbanding ketika bekerjasama dengan parti komponen lain sebelum ini.

Wan Rosdy menjelaskan, selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), BN tidak memperoleh majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan secara bersendirian, sekali gus memerlukan kerjasama parti lain demi kestabilan negeri.

Beliau turut menolak naratif yang dimainkan sehingga mencetuskan perpecahan dalam kalangan orang Melayu akibat perbezaan fahaman politik, sambil menegaskan perpecahan sedemikian hanya merugikan masyarakat Melayu sendiri.

“Ketika DAP berada dalam kerajaan, banyak keputusan dapat dibuat tanpa bantahan, termasuk berkaitan kebajikan penjawat awam. Malah, dalam beberapa isu seperti ketirisan dan kemudahan awam, mereka memberikan pandangan yang membina,” katanya ketika berucap merasmikan Penutupan Bengkel Anjakan Paradigma Pendidikan Sekolah Menengah Agama Negeri Pahang (SMAN), hari ini.

Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy menekankan keperluan pentadbiran dan sistem pendidikan SMAN melakukan perubahan menyeluruh serta keluar daripada zon selesa bagi meningkatkan kualiti dan pencapaian pelajar aliran agama di negeri itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri komited merealisasikan resolusi yang digariskan termasuk sasaran 30 peratus daripada 18 SMAN di Pahang tersenarai dalam kelompok 30 terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjelang 2027, sebelum mencapai 100 peratus pada 2031.

Bagi menyokong usaha itu, Kerajaan Pahang memperuntukkan RM116.58 juta untuk pengoperasian SMAN pada 2026, selain RM17.4 juta bagi pembinaan baharu dan penyelenggaraan sekolah agama bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.

BBerkaitan

Latest articles