Bekas menteri undang-undang Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-19.
Beliau mengangkat sumpah pada jam 10 pagi tadi sebelum persidangan Dewan Negara yang turut dihadiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim bermula.
Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Pulai Nur Jazlan Mohamed diundi sebagai timbalan speaker menewaskan Senator Razali Idris dari Bersatu.
Nur Jazlan mendapat 43 undi berbanding Razali 11 manakala lapan ahli dewan tidak hadir.
Beliau dicadangkan Anwar manakala Razali dicadangkan oleh Senator Dominic Lau.
Terlebih dahulu Wan Junaidi dan Nur Jazlan mengangkat sumpah sebagai senator.
Wan Junaidi menggantikan Rais Yatim yang tempoh lantikannya sebagai Yang Dipertua Dewan Negara tamat Khamis lalu. Nur Jazlan mengambil alih tugas timbalan speaker daripada Ali Mohamad selepas perkhidmatannya tamat pada Mei.
Wan Junaidi pernah menjadi timbalan speaker Dewan Rakyat dari 2008 hingga 2013.
Dalam ucapan ringkasnya, Wan Junaidi berterima kasih kepada Anwar atas pelantikan itu dan berjanji untuk meneruskan agenda reformasi parlimen.
“Panggil untuk berkhidmat adalah lebih penting daripada apa yang saya rancang,” katanya yang merujuk kepada rancangan awal beliau untuk bersara dari politik.
Bekas menteri agama Mujahid Yusof Rawa turut mengangkat sumpah sebagai senator selepas dilantik oleh DUN Perak pada bulan lalu.