KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin mengesahkan tindakannya meninggalkan PKR dengan alasan mahu menjalani kehidupan yang lebih tenang dan mengurangkan pertentangan dengan pihak lain.
Perkara itu didedahkan bekas Ketua PKR Petra Jaya, Iswardy Morni menerusi satu hantaran di platform X, semalam.
Memetik FMT, Wan Ji kemudiannya memberitahu telah menyerahkan surat permohonan keluar parti berkenaan pada 1 Januari lalu.
Menurut Wan Ji, faktor usia antara pertimbangan utama yang mendorong keputusannya itu.
Katanya, semakin meningkat umur, beliau lebih cenderung untuk menjauhkan diri daripada konflik dan permusuhan.
“Saya semakin tua dan perlu berfikir untuk mengurangkan musuh. Ketika berada dalam PKR, ramai pihak di luar parti tidak mahu berkawan dengan saya,” katanya.
Untuk rekod, Wan Ji pernah menjadi ahli PAS sebelum menyertai PKR pada 2015. Beliau juga pernah dilantik sebagai pembantu kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Pada September 2023, Wan Ji berdepan sejarah hitam apabila mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan terhadapnya selepas didapati bersalah atas kesalahan menghasut dan menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menerusi satu hantaran di Facebook pada tahun 2012.










