KUALA LUMPUR: Kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus memuncak apabila tiga lagi Ahli Parlimen disahkan dipecat daripada parti, menjadikan krisis kepimpinan yang melanda parti itu semakin serius.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob; serta Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan dilaporkan menerima surat pemecatan yang ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin parti.
Fathul sendiri mengesahkan tindakan tersebut, manakala sepucuk surat yang tular menyatakan ketiga-tiga mereka didapati melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti iaitu peruntukan yang mewajibkan setiap ahli mematuhi perlembagaan, kod etika dan tatakelakuan parti.
Peruntukan yang sama turut digunakan dalam pemecatan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang sebelum ini disingkirkan daripada parti.
Wan Fayhsal sebelum ini telah digantung keahlian pada Oktober lalu atas pelanggaran fasal berkenaan, sebelum tindakan lebih tegas diambil hari ini.
Fathul dan Azahari merupakan antara 16 Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong gesaan Naib Presiden parti, Datuk Seri Ronald Kiandee, agar Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berundur dan memberi laluan kepada timbalannya, Hamzah.
Langkah itu dilihat sebagai pencetus kepada ketegangan dalaman parti yang semakin meruncing sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Dalam perkembangan sama, Setiausaha Bersatu Sabah, Yunus Nurdin, turut dipecat selepas secara terbuka mendesak Muhyiddin melepaskan jawatan presiden.
Sebelum ini, dua lagi ahli parti iaitu Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah, masing-masing telah disingkirkan daripada parti pada Oktober dan Januari lalu.










