Walaupun PM Boleh Buat Keputusan, Ismail Sabri Enggan ‘Langkau’ Agong

BERA: “Jangan kita mendahului kuasa Seri Paduka dan jangan kita mendahului membuat kenyataan dalam perkara bidang kuasa Seri Paduka,” demikian menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pendirian itu dibuat selepas diajukan kesesuaian untuk melaksanakan pemilihan UMNO atau Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Meskipun beliau boleh memikirkan tarikh sesuai untuk membubarkan Parlimen, namun Ismail Sabri enggan melangkaui bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO mengakui, isu tersebut telah mendapat pelbagai pandangan dalam kalangan ahli, mengenai yang mana perlu didahulukan.

“Bagaimanapun, ini (bubar Parlimen) bukan hak mutlak Perdana Menteri, kerana mesti mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah),” katanya semasa menggulung perbahasan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Bera itu mahu UMNO membuat keputusan mengenai kerjasama parti itu dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN).

Hal itu penting supaya akar umbi tidak keliru.

Sehubungan itu, keputusan sama ada kerjasama itu diteruskan atau sebaliknya perlu diputuskan menerusi Mesyuarat Tertinggi (MT) atau pada Perhimpunan Agung UMNO yang dijadualkan berlangsung pada Januari hadapan.

“Kerjasama UMNO dan PAS melalui MN belum ditolak, kerana tiada keputusan yang mengatakan kita kena putuskan hubungan sama ada dari MT, manakala perhimpunan agung masih belum berlangsung… bermaksud belum lagi ada keputusan untuk ‘reverse’ keputusan yang lepas (setuju bekerjasama).

“Keputusan itu masih ‘stand’, maknanya kita perlu kurangkan kenyataan tentang Pas. Kena ada keputusan yang jelas, kerana sekarang ada yang ‘yes’, ada ‘no’ (dengan kerjasama itu),” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu.

Namun beliau berpandangan, MN pada ketika ini masih wujud walaupun sudah lama tidak bermesyuarat, dan beliau berharap pertemuan kedua-dua pihak dapat diadakan segera.

Apatah lagi ada negeri seperti Selangor mahu meneruskan kerjasama dengan MN, namun UMNO di Terengganu pula menolak.

“Saya berpandangan kena beri kelonggaran di negeri untuk buat keputusan yang sesuai dengan negeri masing-masing. Terengganu berbeza dari Pahang dan apa yang sesuai di sini tidak boleh dipaksa di Selangor,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles