More

    Walaupun Kalah PRN Sabah, Shafie Tetap Calon PM PRU15

    Pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tetap menjadi calon perdana menteri sekiranya pembangkang menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.

    “Dia masih (salah) satu dari calon,” katanya seperti memetik laporan portal The Malaysian Insight.

    Dr Mahathir, dalam masa yang sama meluahkan rasa kecewanya atas kekalahan Warisan Plus pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semalam.

    “Saya ucap tahniah pada mereka yang menang (PRN Sabah). Saya harap dengan ini keadaan di Sabah akan jadi lebih stabil dan tiada lagi percubaan untuk rampas kerajaan,” katanya sambil merujuk kepada usaha perubahan kerajaan negeri oleh bekas penyandangnya, Tan Sri Musa Aman, hujung Julai lalu.

    “Saya harap rakyat Sabah tolak orang yang menggunakan cara tidak betul untuk ambil alih kerajaan.

    “Mereka dengan sengaja runtuhkan kerajaan dengan membayar Adun untuk lompat (tinggalkan parti).

    “Kalau ini jadi satu amalan di Malaysia, tamatlah demokrasi kerana mereka yang ada duit boleh beli mana-mana kerajaan,” ujarnya lagi.

    Menerusi PRN Sabah yang berlangsung semalam, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang di 38 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), menewaskan Warisan Plus yang hanya memperolehi 29 kerusi, sekaligus menumbangkan pentadbiran Shafie.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini