Walaupun Diancam, Malaysia Tetap Sokong Palestin

KUALA LUMPUR: Mengulas mengenai ancaman bom di sebuah pusat beli belah di Johor Bahru yang mungkin dikaitkan dengan situasi tegang di Palestin hari ini, Malaysia menegaskan pendiriannya tidak akan berganjak dari terus menyokong negara Islam berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga mengingatkan pihak yang kurang senang dengan pendirian negara ini bahawa kerajaan sesekali tidak gentar terhadap sebarang ancaman sedemikian dalam menyokong Palestin menuntut hak dan kedaulatan mereka yang ditindas rejim Zionis Israel.

Bahkan hal itu juga sudah dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

“Mengikut kenyataan Perdana Menteri dan Menteri Luar, kita tak perlu gentar pun dengan apa sahaja ancaman malah kita sangat menghargai (Palestin) dengan memberikan bantuan kewangan.

“Kita (Malaysia) akan terus kekal menyokong Palestin…pihak polis juga mengesahkan ia adakah ancaman yang sengaja dibuat-buat cuma kita perlu berjaga-jaga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pejabat UMNO Bahagian Tangga Batu di Taman Paya Rumput Utama, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Rais Yasin.

Malah Presiden UMNO itu berkata, sokongan Malaysia terhadap Palestin juga telah diterjemahkan melalui penambahan sumbangan dana RM10 juta untuk Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).

Menurutnya, Perdana Menteri akan memastikan dana sumbangan akan dikumpul sehingga RM100 juta dengan kerjasama syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan rakyat negara ini demi membantu warga Palestin.

Semalam media melaporkan pihak pengurusan pusat beli-belah dan hotel ternama di Johor Bahru gempar apabila menerima panggilan daripada seorang lelaki warganegara asing yang mendakwa telah meletakkan bom di beberapa lokasi di bangunan itu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat dilaporkan berkata, pihak pengurusan bangunan itu menerima panggilan tersebut kira-kira pukul 5.38 petang semalam sebelum menghubungi polis.

“Lelaki yang mengaku seorang warganegara asing telah meletakkan bom di beberapa kawasan di dalam bangunan itu dan memberi amaran supaya jangan beri sokongan kepada Palestin.

“Ini merupakan pertama kali ancaman bom berhubung ketegangan di Palestin diterima di negara ini,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles