Walau Hanya Peroleh Undi Ketiga Tertinggi, Amira Aisya Dipilih Presiden MUDA

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abdul Aziz dipilih sebagai Presiden baharu Parti Ikatan Demokratik Malaysia bagi penggal 2026 hingga 2029 selepas pemilihan dalaman pertama parti itu yang berlangsung semalam.

Amira, yang sebelum ini memangku jawatan presiden hanya berada di kedudukan ketiga dari segi jumlah undi bagi pemilihan ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP).

Dalam pengundian tersebut, beliau memperoleh 103 undi daripada kira-kira 125 perwakilan yang mengambil bahagian.

Dua calon lain menerima undi lebih tinggi iaitu Leben Siddarth dengan 110 undi di tempat pertama, diikuti Saiyidah Izzati Nur yang meraih 104 undi.

Bagaimanapun, mengikut sistem pemilihan MUDA, 25 calon yang memperoleh undi tertinggi akan membentuk JKEP sebelum mereka bermesyuarat bagi menentukan barisan kepimpinan tertinggi parti termasuk jawatan presiden.

Dalam mesyuarat pertama JKEP yang berlangsung sejurus selepas keputusan diumumkan, Amira dipilih untuk menerajui parti tersebut, sekali gus mengesahkan kedudukannya sebagai presiden baharu MUDA.

Dalam sidang media selepas mesyuarat berkenaan, Amira turut mengumumkan beberapa pelantikan utama dalam kepimpinan parti.

Antaranya, Zaidil Baharudin dilantik sebagai Timbalan Presiden.

Beliau juga memaklumkan lima Naib Presiden yang dipilih iaitu Liban Sida, Faizrah Nizalman, Zarul Afiq, Dobby Choo dan Dr. Siva.

Sementara itu, jawatan Ketua Penerangan disandang Rashid Abu Bakar manakala posisi Setiausaha Agung kekal dipegang oleh Aini Haziqah yang menurut Amira merupakan pilihannya untuk meneruskan tanggungjawab tersebut.

Menurutnya, beberapa jawatan lain termasuk Bendahari Agung serta lima lagi posisi dalam JKEP yang berada di bawah kuasa presiden akan diumumkan selepas cuti Hari Raya.

Amira dalam masa sama merakamkan penghargaan kepada semua perwakilan dan calon yang terlibat dalam pemilihan tersebut, yang disifatkannya sebagai detik penting dalam sejarah parti.

Beliau menegaskan barisan kepimpinan baharu memikul mandat besar daripada ahli-ahli muda untuk menerajui parti dan memperjuangkan agenda rakyat sepanjang penggal 2026 hingga 2029.

“Saya mohon doa semua agar kami dapat melaksanakan amanah ini dengan baik, terus membawa suara rakyat serta tidak melupakan golongan yang susah, sakit dan lapar,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles