Walau Dipenjara, Najib Kekal Dicalonkan Di Pekan

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kekal dicalonkan di kerusi yang disandangnya, Pekan.

Keputusan itu dibuat UMNO Bahagian Pekan, yang mana nama Najib merupakan antara lima calon dikemukakan bahagian itu untuk diserahkan kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN).

Untuk rekod Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan hukuman ke atasnya berhubung kes SRC International Sdn Bhd.

Sementara itu Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Zamri Ramly menepis anggapan ramai pihak bahawa mereka akan menamakan dua anak Najib, Datuk Nizar Najib atau Nooryana Najwa, bertanding di kerusi berkenaan.

“Tiada perancangan meletakkan anak Datuk Seri Najib untuk bertanding di Parlimen Pekan jika beliau tidak layak bertanding.

“Sebaliknya, sesiapa yang dipilih bertanding di situ nanti akan menyerahkan kembali kerusi Parlimen Pekan kepada Datuk Seri Najib selepas mendapat pengampunan,” katanya memetik Utusan Malaysia.

Beliau berkata, Nizar dicalonkan namun di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan Chini, Bebar, Peramu Jaya dan Pulau Manis.

Pada PRU-14, Najib mempertahankan kerusi Parlimen itu selepas memperoleh kemenangan majoriti besar 24,859 undi mengatasi tiga lagi pencabarnya di kerusi berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles