‘Waktu Bekerja Berlainan’ Tak Jadi Dilaksana, Perlu Kajian Lebih Menyeluruh

KUALA LUMPUR: Mesyuarat kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memutuskan membatalkan cadangan Waktu Bekerja Berlainan (WBB), sistem syif baharu untuk petugas kesihatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata cadangan berkenaan memerlukan kajian yang lebih mendalam sebelum dapat dilaksanakan kelak.

“Jemaah Menteri telah memutuskan untuk membatalkan projek rintis WBB untuk memberi laluan kepada sebuah kajian yang lebih mendalam dan menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, satu jawatankuasa khas dibentuk yang akan dipengerusikan bekas ketua pengarah kesihatan Abu Bakar Suleiman.

Jawatankuasa khas bagi ini akan merujuk terma-terma pemerkasaan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat dan penjadualan waktu bekerja.

“KKM akan meneruskan usaha mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan adil untuk semua, terutamanya petugas kesihatan,” kata Dzulkefly lagi.

Baru-baru ini, Dzulkefly berkata, pelaksanaan sistem WBB bagi pegawai perubatan pada Februari ini bergantung kepada keputusan Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).

Ia kerana pelaksanaan sistem syif waktu bekerja berperingkat-peringkat kekal sebagai perkara dalaman yang perlu ditangani oleh MAAC dan jabatan berkaitan.

Dzulkefly sekali mengulangi kenyataanya bahawa sistem WBB adalah pilihan dan tidak bertujuan untuk menggantikan sistem waktu bekerja semasa bagi pegawai perubatan.

Isu ini menarik perhatian petugas-petugas kesihatan selepas satu surat edaran bertajuk Pelaksanaan Sistem WBB Fasa Pertama bertarikh 10 Januari yang dikeluarkan KKM, menyatakan WBB telah diluluskan untuk projek Fasa Pertama oleh Ketua Setiausaha KKM pada 3 Januari lalu, membabitkan beberapa jabatan di hospital terpilih.

Pelaksanaan sistem itu mendapat kritikan, antaranya berkaitan syif tugas doktor ditukar untuk bekerja selama 18 jam, dari jam 3 petang hingga 9 pagi keesokannya sehingga mereka tidak mendapat elaun ‘on call’.

BBerkaitan

Latest articles