Wakil Rakyat Perlu Sedia Jadi ‘Khadam’ Rakyat – Dzulkifli

TASEK GELUGOR: Tan Sri Dzulkifli Ahmad meminta setiap wakil rakyat yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu untuk turun padang membantu rakyat yang memerlukan.

Dzulkifli, yang juga Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) itu berkata, inilah masanya untuk mereka mencurah bakti kepada para pengundi, apatah lagi setiap wakil rakyat mempunyai peruntukan khusus untuk membantu rakyat.

“Saya juga nak minta wakil-wakil rakyat buat kerja…kita boleh bantu sahaja mereka (wakil rakyat) ada peruntukan saya tiada peruntukan…peruntukan ini daripada saya sendiri.

“Jadi yang mana wakil rakyat itu kalau nak tawar diri sebagai wakil rakyat kena bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Sekarang ini bukan lagi konsepnya yang berhormat tetapi yang berkhidmat atau dalam erti kata lain dia (wakil rakyat) perlu jadi ‘khadam’ rakyat bukan tuan rakyat,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ayam segar percuma sempena Program Rakyat Ayam Percuma anjuran beliau, di sini semalam.

Katanya, inisiatif itu diambil bagi membantu meringankan beban penduduk di Tasek Gelugor terutama dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Program ini yang pertama untuk tahun ini inyaAllah kita akan teruskan selagi Allah anugerahkan rezeki yang mencukupi.

“Sebagaimana yang boleh kita bantu untuk meringankan beban mereka (rakyat) kita akan bantu.

“Kita tahu keadaan sekarang ini dan masa akan datang dari sudut ekonomi memperlihatkan bahawa akan berlaku inflasi dan sebagainya,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Dzulkifli Ahmad berkata beliau tidak berhasrat untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“PRN (Pilihan Raya Negeri) semakin menghampiri saya tidak bercadang untuk bertanding dalam PRN, jangan silap…ayam percuma ini kita memang buat sejak tahun lepas.

“Jangan risau saya tidak berminat dengan parti politik buat masa sekarang,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles