VTL Antara Malaysia-Thailand Dilaksanakan Tidak Lama Lagi

BANGKOK: Malaysia dan Thailand bersetuju secara dasar untuk melaksanakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara, darat dan laut, bagi memudahkan pergerakan rakyat kedua-dua negara.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas mengadakan perjumpaan bersama Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha, sempena lawatan rasmi tiga hari sejak semalam ke negara itu.

Dalam melaksanakan pergerakan antara dua negara berkenaan, kementerian dan agensi berkaitan akan mengadakan perbincangan bagi memperincikan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan, demi membuka semula sempadan dalam masa terdekat melalui VTL dan skim ‘Test & Go’.

“Sebagai permulaan, kita boleh melaksanakan VTL-Udara antara Kuala Lumpur dan Bangkok bagi pengembara yang sudah lengkap vaksinasi. Kita juga akan mempertimbangkan untuk menambah destinasi lain pada masa akan datang.

“Skim VTL juga akan diperkembangkan untuk pembukaan sempadan darat melalui Bukit Kayu Hitam-Sadao, serta termasuk semua CIQ (kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin) di utara semenanjung dan Selatan Thailand, selain VTL-Laut antara Langkawi-Satun.

“Ini sudah tentu akan membantu memulihkan semula jaringan ekonomi dan perniagaan kedua-dua pihak, terutamanya untuk sektor pelancongan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat terhad bersama Prayuth.

Dalam pada itu, kedua-dua perdana menteri turut membincangkan pembinaan jambatan persahabatan kedua merentasi Rantau Panjang-Sungai Golok, selain jambatan baharu untuk Pengkalan Kubor-Tak Bai disegerakan.

“Kami berdua bersetuju agar agensi berkaitan dapat menyegerakan pembinaan projek-projek ini bagi kelancaran pergerakan rakyat dan barang antara kedua-dua negara,” katanya.

Ismail Sabri berharap beliau dapat bekerjasama rapat dengan Prayuth, bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala yang akrab ini ke tahap lebih tinggi.

“Sebagai negara jiran terdekat, penting bagi Malaysia dan Thailand menjalin kerjasama lebih aktif di pelbagai peringkat, di samping meneroka bidang kerjasama baharu, terutamanya dalam usaha pemulihan kesan pandemik COVID-19,” katanya.

Berhubung isu serantau, Ismail Sabri berkata beliau dan Prayuth turut membincangkan situasi di Myanmar.

“Kami bersetuju bahawa penting bagi ASEAN untuk terus memainkan peranan positif dan konstruktif dalam mencari solusi aman dan berkekalan demi kepentingan Myanmar dan juga komuniti ASEAN.

“Kami berkongsi pandangan sama bahawa penting bagi Myanmar untuk bekerjasama dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara dan keperluan untuk memelihara kredibiliti serta integriti ASEAN. Kami berharap demokrasi akan dapat kembali di Myanmar,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles